Bayi Baru Lahir
Beberapa hari pertama selepas kelahiran, bayi anda akan membuang najis yang dinamakan meconium. Ini merupakan bahan melekit berwarna hitam kehijauan yang berkumpul dalam usus bayi anda semasa kehamilan dan komposisinya ialah hempedu, mukus, sel dari dinding usus, rembesan dan cecair amnion. Meconium adalah petanda bahawa usus bayi anda berfungsi dengan baik, maupun sukar untuk menanggalkan kotoran itu dari punggung bayi anda. Selepas sehari atau dua hari, selepas penyusuan menjadi kebiasaan, dan semua meconium telah dikeluarkan, warna najis akan menjadi hijau kecoklatan, lembut dan berbiji sebelum menjadi lebih kekuningan.
Bayi Yang Menyusui Susu Ibu
Najis bayi yang menyusu badan dan bayi yang diberikan susu formula adalah berbeza. Kolostrum dari “susu pertama” anda bertindak sebagai laksatif, membantu menolak meconium keluar dari sistem bayi anda. Apabila anda menghasilkan susu dengan sempurna, selepas kira-kira tiga hari, najis bayi anda akan berubah menjadi kuning cerah atau mustard dan berbau manis. Najis itu agak lembik tetapi bertekstur, kadang-kala berbiji atau berkental.
Pada awal minggu pertama, bayi anda akan membuang air besar semasa atau selepas setiap penyusuan, tetapi ini akan berkurangan dan dia akan mempunyai rutinnya sendiri, selalunya membuang air besar pada masa yang sama setiap hari. Rutin ini akan berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi, contohnya, rutin akan bertukar apabila anda mula memberikan makanan pejal, atau apabila bayi kurang sihat atau jika dia mula kurang menyusu.
Bayi Yang Menyusui Susu Formula
Lazimnya najis bayi anda akan berwarna kuning pucat atau coklat kekuningan, dan sisa susu formula akan menjadikannya kelihatan lebih besar dan lebih terbentuk berbanding bayi yang diberikan susu badan. Ini disebabkan susu formula tidak dapat dicernakan sepenuhnya seperti susu badan. Najis akan berbau lebih tengik, seakan-akan najis orang dewasa. Bayi yang diberikan susu formula membuang air besar sekali sehari untuk merasa selesa, dan najisnya adalah lebih besar. Namun, lagi lama najis berada dalam usus, lagi keras jadinya dan lebih sukar untuk dikeluarkan, sehingga membawa kepada sembelit. Berbincanglah dengan pakar pediatrik anda jika anda rasakan bayi anda mempunyai masalah ini.

